Wednesday, June 15, 2005

Bil Internet Tinggi?

ADAKAH bil telefon anda terlalu tinggi sejak kebelakangan ini?

Adakah terdapat mana-mana nombor telefon talian antarabangsa dicetak pada bil telefon anda yang anda rasa tidak pernah mendailnya?

Sekiranya ada, ia tidak bermakna ada orang di rumah anda yang membuat panggilan ke nombor telefon antarabangsa tersebut. Tetapi terdapat kemungkinan modem komputer di rumah anda telah diceroboh.

Bagaimana ia berlaku?

Sekiranya anda sedang melayari laman web antarabangsa, berhatilah-hatilah sekiranya anda menerima tetingkap pop-up di skrin komputer yang mengkehendaki anda memuat turun sebarang fail atau program.

Sekiranya anda bersetuju, anda berkemungkinan besar telah memuat turun fail atau program yang menghentikan akses anda melalui pembekal perkhidmatan Internet (ISP) tempatan seperti TM Net.

Sistem itu kemudiannya menyambungkan semula sambungan Internet anda kepada mana-mana ISP luar negara menggunakan panggilan nombor telefon antarabangsa dan keadaan ini yang menyebabkan anda dikenakan bil tinggi.

Sebenarnya ketika itu, anda tidak lagi dihubungkan ke Internet menggunakan nombor dail 1515 dan menikmati kadar 1 sen untuk setiap minit untuk akses Internet dan 1.5 sen untuk caj panggilan.

Ini kebiasaannya berlaku apabila anda mengakses laman web yang menawarkan pelbagai program secara percuma seperti laman web hiburan dewasa, perjudian, permainan video ataupun laman web muzik.

Langkah pencegahan

Bagaimanapun, terdapat beberapa langkah yang boleh anda lakukan bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa situasi tersebut. Antaranya ialah:

- Jangan mudah terpedaya dengan pujukan untuk melayari laman web percuma.

- Bacalah terma dan syarat dengan teliti sebelum mengakses laman web tersebut.

- Jangan klik butang `Hantar' (Submit) atau butang `Saya Terima' (I Accept) sekiranya terdapat kenyataan yang menyatakan pelanggan akan disambungkan ke dialer ISP antarabangsa.

- Mengetahui nombor yang akan anda dail sebelum disambungkan ke Internet.

Pastikan yang dialer (komputer) anda hanya disambungkan ke nombor ISP tempatan.

- Tutup segera tetingkap pop-up dari sesetengah laman web hiburan dewasa.

- Berhati-hati ketika memuat turun fail dan program dari Internet.

- Hadkan akses anda melalui perisian Internet Explorer.

Ia boleh dilakukan dengan mengakses bahagian menu Tools (di Internet Explorer), pilih Internet Options dan pilih Contents.

Terdapat empat menu utama di Internet Explorer yang boleh dikonfigurasikan iaitu Language (Bahasa), Nudity (Kebogelan), Sex (Seks) dan Violence (Keganasan).

Klik mana-mana menu tersebut dan pilih tahap keseriusan penapisan untuk menu-menu tersebut.

Gunakan teknologi penapisan Internet

Penggunaan teknologi penghalang dan penapisan Internet boleh menghalang akses ke laman web yang telah disenarai hitamkan.

Ia boleh dilakukan dari komputer anda di rumah atau melalui ISP.

Ibu bapa juga boleh memasang mana-mana perisian penapisan Internet yang tersedia di pasaran bagi mengelakkan anak-anak anda dari melayari laman web yang berisiko tinggi.

Antara aplikasi yang boleh dimuat turun untuk percubaan sebelum dibeli ialah perisian Net Nanny dan Surfwatch.

Bagaimanapun, perlu diingatkan di sini bahawa perisian penapisan ini tidak sebaik pengawasan oleh pihak ibu bapa sendiri.

Langkah-langkah penjagaan yang lain

- Biarkan fail-fail di dalam sejarah (history) perisian Internet Explorer anda untuk masa yang lebih lama bagi membolehkan anda mencari kembali URL laman web tersebut sekiranya perlu.

- Mendidik anak-anak anda tentang risiko berkaitan dengan pelayaran laman web dan sentiasa mengawasi mereka ketika melayari Internet.

- Menggalakkan penglibatan ahli keluarga atau meletakkan komputer di kawasan terbuka di kediaman anda.

- Pastikan anak-anak anda tidak memberikan maklumat peribadi kepada sesiapa secara online, termasuk alamat e-mel dan juga `kata laluan'.

- Jangan buka e-mel dari alamat yang mencurigakan dan jangan membalas e-mel yang tidak diketahui pengirimnya.

TM Net ingin menasihati para pelanggannya agar menggunakan kebijaksanaan mereka apabila melayari laman-laman web tersebut.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi:

Pusat Interaksi Pelanggan TM Net di 1-300-88-1500 dari 8.00 pagi sehingga 12 malam atau melalui e-mel dicustcare@tm.net.my.

Anda juga boleh menghantar e-mel ke Pusat Perhubungan Pelanggan Telekom di untuk sebarang pertanyaan mengenai panggilan IDD anda di alamat: 1050@tm.com.my

No comments: