Wednesday, December 21, 2005

UUM tangguh semua kuliah

"ALOR STAR: Selepas melanjutkan tempoh pendaftaran pelajar baru akibat banjir yang melanda negeri ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam menangguhkan semua kuliah bagi pengajian semester kedua yang sepatutnya bermula 26 Disember depan kepada 31 Disember.

Naib Canselornya, Datuk Dr Nordin Kardi, berkata penangguhan dibuat memandangkan banjir yang melanda sebahagian besar Kedah menghalang pelajar pulang ke kampus universiti di Sintok.

Selain itu, bekalan air yang terputus di UUM akibat banjir boleh menimbulkan masalah jika pelajar berada di kampus lebih awal.

“Sehubungan itu, saya meminta semua pelajar UUM kembali mendaftar di kolej kediaman masing-masing mulai 29 hingga 30 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, pelajar lama akan memulakan kuliah pada 31 Disember, manakala pelajar baru 1 Januari.

“Tempoh pendaftaran pelajar baru semester kedua sesi 2005/2005 juga dilanjutkan sehingga 31 Disember dan boleh dilakukan di Jabatan Hal Ehwal Akademik,” katanya.

Dr Nordin berkata, pendaftaran gugur dan tambah kursus secara online dilanjutkan sehingga 5 Januari depan.

Pada masa sama, beliau menasihatkan pelajar UUM sentiasa mengikuti perkembangan universiti melalui laman web http://www.uum.edu.my atau menghubungi talian 04-9283117 atau 04-9283155. "

No comments: