Saturday, May 07, 2005

Chelsea dah tak minat Gerrard

LONDON: Chelsea tidak lagi berminat mendapatkan khidmat Steven Gerrard selepas pengurusnya, Jose Mourinho membuat keputusan bahawa pemain tengah Liverpool itu tidak berbaloi dengan jumlah wang yang perlu dibayar untuk membelinya.

Akhbar Daily Mail mendedahkan, Mourinho memberitahu pengurusan tertinggi Chelsea dalam mesyuarat, Selasa lalu, bahawa dia mempunyai ‘keutamaan lain’ dan berasakan £30 juta (RM210 juta) yang dipersetujui secara asasnya dengan Liverpool bagi mendapatkan Gerrard terlalu banyak.

Sebagai sokongan kepada pendapatnya, Mourinho turut mengemukakan statistik rekod mengenai persembahan Gerrard sejak tiga musim lalu termasuk penampilan, jaringan, membantu rakan sepasukan menjaringkan gol, hantarannya yang sampai kepada rakan sepasukan dan kejayaannya merebut bola.

Kemudian mesyuarat itu memutuskan yuran perpindahan ditambah gaji kira-kira £5.5 juta (RM38.5 juta) semusim untuk Gerrard lebih baik dibelanjakan untuk perkara lain.

Chelsea kini menukar tumpuan kepada pemain Argentina berusia 21 tahun, Javier Mascherano, yang mereka percaya boleh dibeli daripada River Plate dengan harga £8 juta (RM56 juta).

Tidak seperti Gerrard, Mascherano menepati profil yang diinginkan Mourinho iaitu muda, berbakat dan bercita-cita besar.

Pemain tengah yang mampu menjaringkan gol ini adalah ‘harta’ paling panas dalam bola sepak Argentina dan dijangka bersetuju menerima gaji £2 juta (RM14 juta) semusim.

Mourinho juga percaya peruntukan patut dibuat bagi mendapat penjaring gol dan memperkuatkan pertahanan.

Ketika ini, perbincangan sedang diadakan dengan Inter Milan bagi mendapatkan penyerang Brazil, Adriano pada harga kira-kira £25 juta (RM175 juta) dengan tambahan Chelsea melepaskan Juan Sebastian Veron sepenuhnya kepada kelab Itali itu.

Chelsea juga bersedia memberikan penyerang Argentina, Hernan Crespo - kini dipinjamkan ke AC Milan - kepada Inter sebagai sebahagian daripada perjanjian mendapatkan Adriano. - Agensi

No comments: