Saturday, May 07, 2005

Ubah pandangan negatif snuker



SUKAN snuker biasanya dikaitkan dengan aktiviti kurang sihat seperti merokok, minum minuman keras dan berjudi.

Pada pandangan saya, tanggapan negatif terhadap snuker dan billiard atau bola tonjol sebagaimana yang dikenali oleh orang kampung hanya berlaku di negara kita tetapi tidak di luar negara.

Tidak diketahui bagaimanakah tanggapan negatif ini dilabelkan kepada snuker dan billiard yang dimainkan di premis yang selalunya bercermin gelap dan dengan cahaya yang malap.

Berikutan tanggapan negatif ini, ibu bapa melarang anak-anak mereka bermain snuker dan billiard walaupun sukan berkenaan diiktiraf sebagai sukan mempunyai cabang professional yang dapat menjamin kehidupan pemain-pemainnya dengan lumayan.

Tanggapan negatif ini juga menyebabkan pihak berkuasa tempatan mengenakan syarat yang ketat terhadap premis yang menjalankan aktiviti permainan snuker dan billiard.

Kalau kita bercakap mengenai snuker, kita pasti teringat Sam Chong iaitu pemain snuker negara yang menempa nama bukan sahaja di Sukan Sea tetapi juga di Sukan Asia.

Dia pernah memenangi Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1995. Dia juga memenangi sejumlah wang tunai hadiah Skim Hadiah Kemenangan Majlis Sukan Negara. Namun kejayaan sukan snuker ini tidak dapat memadamkan tanggapan negatif yang ada di kalangan rakyat Malaysia.

Ketika Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menjadi Menteri Belia dan Sukan, saya mengemukakan satu cadangan untuk merubah pandangan negatif terhadap sukan snuker.

Saya memberi hujah mengapakah snuker dan billiard sebagai sukan memerlukan lesen daripada pihak berkuasa tempatan untuk mempraktiskan sukan ini. Adakah perlu untuk mereka yang mempraktiskan sukan bola sepak, hoki, bola tampar atau bowling memerlukan lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

Ini adalah satu perkara yang bertentangan sama sekali setelah kita mengiktiraf snuker dan billiard sebagai satu sukan yang berjaya membawa kemenangan dan imej baik kepada negara melalui sukan.

Dengan hujah ini, maka diputuskan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pihak-pihak berkuasa tempatan boleh memberi kelonggaran kepada pihak yang ingin membuka premis untuk dijadikan pusat latihan bagi permainan snuker dan billiard.

Biasanya permohonan pihak-pihak tertentu akan dirujuk kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang akan memberi pandangan sama ada pihak-pihak tersebut memang bertujuan memajukan sukan snuker dan billiard.

Sekarang ini terdapat beberapa premis digunakan untuk latihan pemain snuker dan billiard yang diberi tunjuk ajar oleh mereka yang berkelayakan. Bagaimanapun pusat-pusat latihan masih belum banyak dan sukan ini juga masih belum berkembang secara meluas ke seluruh negara.

Beberapa hari lalu, pemain muda, Moh Keen Ho mencatatkan kemenangan di Kejohanan Snuker Remaja Asia Bawah 21 Tahun di Bangkok. Dia mengalahkan Kobkit Palajin dari Thailand dengan kiraan 6-3.

Ini sejarah bagi sukan snuker negara kerana sebelum ini belum ada pemain remaja yang berjaya menjadi juara di peringkat Asia. Kejayaan ini bukanlah secara tiba-tiba dan mendadak sahaja.

Ia adalah hasil rancangan dan tindakan yang diambil Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia dan MSN. Sebuah pusat latihan khusus untuk sukan ini telah diadakan di Majlis Sukan Negara. Pemain-pemain dilatih secara sepenuhmasa.

Sam Chong sekarang ini sudah dilantik menjadi salah seorang jurulatih sukan bertempat di pusat latihan yang ada di MSN. MSN juga membantu Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia membawa pakar luar negara untuk mengadakan kursus-kursus jurulatih bagi membantu meramaikan jurulatih tempatan.

MSN turut memperkenalkan sukan ini di sekolah-sekolah dengan memilih sebilangan sekolah di Kuala Lumpur termasuk sekolah berasrama penuh. Tujuan MSN memperkenalkan sukan ini di peringkat sekolah adalah secara beransur-ansur untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa snuker dan billiard adalah sama seperti sukan yang lain juga.

Saya berpendapat sekiranya sukan ini dipraktiskan juga di sekolah berasrama penuh yang premier, sudah tentulah ianya akan dianggap sukan yang tidak ada kesan negatifnya.

Lama-kelamaan masyarakat akan dapat menerima sukan ini tanpa was-was dan menggalakkan anak-anak mereka menceburkan diri dalam sukan ini. Ia juga boleh dijadikan sukan untuk keluarga dan meja snuker boleh diletakkan di rumah kalau mempunyai ruang yang cukup.

Seperti masyarakat barat, meja snuker dan billiard menjadi sebahagian daripada kelengkapan sukan di rumah dan dijadikan sebagai aktiviti kekeluargaan antara bapa dan anak atau suami dan isteri.

Bowling juga pada suatu ketika dahulu dianggap sukan yang mempunyai kaitan dengan gejala negatif iaitu merokok, minuman keras dan berjudi. Lama-kelamaan sukan ini dapat mengenepikan stigma negatif dan pemain bowling lama kelamaan terdiri dari golongan professional dan mempunyai imej yang baik.

Sekarang ini bowling menjadi satu sukan yang amat popular di kalangan rakyat Malaysia dan mendapat sokongan keluarga. Kalau kita lihat pertandingan bowling peringkat remaja, selain pemain remaja yang kita lihat, ramai juga ibu bapa hadir sama memberi sokongan kepada anak-anak mereka.

Ini satu perkembangan yang cukup baik tetapi ianya menempuh satu jangka masa yang cukup panjang sebelum bowling sampai ke tahap yang ada sekarang.

sambutan terhadap permainan ini cukup ramai dan kadang kala MSN terpaksa menyekat penyertaan yang terlalu tinggi daripada pemain remaja.

Saya jangka snuker dan billiard juga akan sampai ke peringkat yang sedemikian sekiranya kemudahan latihan terdapat di seluruh negara dan kita berjaya melahirkan seorang dua jaguh snuker dan billiard yang setanding Shalin Zulkifli.

No comments: