Saturday, May 14, 2005

Kad MoMo dompet maya guna telefon bimbit

KONSEP pembayaran menggunakan telefon bimbit di negara ini akan menjadi nyata apabila HarvestNet Sdn Bhd (HarvestNet) memperkenalkan secara komersial teknologi duit dalam telefon bimbit atau dikenali kad MoMo, pada suku ketiga tahun ini.


Kad MoMo akan bertindak sebagai dompet maya mudah alih yang membolehkan pengguna hanya mengimbas kad berkenaan pada pembaca untuk membeli sesuatu barang.

Pengarah Perniagaan HarvestNet, Nyou Wei Fung, berkata kad ini menggunakan teknologi cip IC tanpa sentuhan atau RFID yang dibangunkan oleh Sony bercirikan kad pintar yang bakal digunakan bagi pembayaran tanpa tunai.

Katanya, kad MoMo bersaiz hanya satu per enam daripada saiz kad kredit mungkin diperkenalkan tiga atau empat bulan lagi yang mana ia boleh digunakan pada kebanyakan alat komunikasi mudah alih antaranya seperti telefon bimbit, PDA dan pemain MP3.

“Teknologi cip IC tanpa sentuh ini kini digunakan dengan meluas dalam kad pengangkutan awam serta telefon bimbit di Jepun dan kad MoMo yang berasaskan penggunaan telefon bimbit ini adalah yang pertama pernah diperkenalkan di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar sempena prapelancaran kad itu di Subang, Khamis lalu.

Kad MoMo ini boleh diperoleh melalui penjual yang bakal dilantik dan nilai tunai akan dimasukkan apabila pengguna membelinya dan tambah nilai tunai boleh dilakukan melalui penjual berkenaan.

Kad itu hanya perlu dilekatkan pada telefon bimbit pengguna dan ia hanya perlu diimbas pada terminal atau pembaca kad berkenaan yang disediakan di setiap kedai yang turut serta dalam projek itu.

Nyou berkata, sebagai permulaan, projek ini akan memanfaatkan kepakarannya sebagai integrasi sistem (SI) untuk mobile dan e-niaga dalam mewujudkan prasarana bagi dompet mudah alih maya membabitkan saiz pembelian kecil dan besar.

“Kami merancang memperkenalkan 100,000 kad MoMo dan melantik 300 peruncit dalam tempoh setahun dengan menjuruskan kepada pengguna di Lembah Klang,” katanya.

No comments: