Saturday, May 14, 2005

O2 Xda IIi lewati batas kelajuan


SELEPAS kejayaan cemerlang Xda IIs dan Xda II mini, O2 menambah satu lagi peranti ke dalam barisan telefon PDA-nya – O2 Xda IIi.

Masih mengekalkan rupa bentuk klasiknya, O2 Xda IIi diperhebat dengan lebih kefungsian dan kecekapan daripada sebuah peranti anggun berwarna hitam dan perak. Ia paling sesuai bagi profesional yang perlukan kelajuan dan sentiasa terhubung.

Antara ciri yang dipertingkatkan ialah pemproses XScale PXA 272 520MHz Intel, kamera 1.3 megapiksel, sistem rangkaian setempat tanpa wayar (WiLAN) terbina dalam dan paparan melintang untuk semua aplikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif, O2 Asia, Mark Billington, berkata, “Pelanggan sentiasa dahagakan inovasi dan kami sentiasa cuba memenuhinya berasaskan teknologi terbaik di pasaran dan dipakej ke dalam sebuah peranti dengan reka bentuk paling anggun.

“Dalam persekitaran perniagaan yang mencabar sekarang, profesional semestinya ingin lebih anjal dan bebas ke sana sini dalam usaha bertindak pantas terhadap sebarang perubahan, di samping menerajui pertumbuhan trend ke arah peranti lengkap yang menggabungkan kefungsian terbaik dari sebuah PDA dengan ciri telefoni mudah alih termaju,” katanya.

O2 Xda IIi adalah hasil secara langsung dalam usaha memahami kehendak pelanggan. Dari kemasan perak dan reka bentuk cemerlangnya, diperkuat pemproses Intel XScale PXA 272 520 MHz dan sistem operasi Microsoft Windows Mobile 2003 Second Edition untuk memenuhi pelbagai keperluan eksekutif perniagaan.

Disebabkan kecekapan dan kelajuan menjadi antara faktor kejayaan, pengguna sibuk akan menghargai bagaimana ia menganjurkan maklumat penting secara pantas dan mudah menggunakan aplikasi ActiveSync: jadual temu janji, senarai hubungan, buku alamat dan e-mel juga boleh diselarikan antara O2 Xda IIi dengan komputer laptop dalam masa beberapa saat saja.

Selain WiLAN, ia dilengkap juga fungsi pejabat mudah alih terkini termasuk Bluetooth 1.2 dan suit penuh aplikasi produktiviti perniagaan seperti Microsoft Outlook, Excel, Word dan Internet Explorer.

O2 Xda IIi sudah berada di pasaran dijual dengan harga RM3588 serta jaminan setahun.

No comments: