Saturday, May 28, 2005

Produk Baru: Internet Tablet Nokia mudahkan capaian



NOKIA Corp (Nokia) memperkenalkan tablet telapak, Internet Tablet, untuk melayari web melalui sambungan jalur lebar tanpa wayar yang menjadikannya produk bukan telefon pertama syarikat ini, selain merealisasikan usaha menghasilkan perkakasan internet bagi mengakses online di rumah.

Produk yang baru diperkenalkan Rabu lalu itu akan dipasarkan musim panas ini menggunakan sumber operasi sumber terbuka Linux berbanding platform Symbian yang Nokia gunakan untuk telefon pintar.

Dengan harga RM1,330 (AS$350), Internet Tablet menjadi alternatif kepada membeli sebuah komputer peribadi (PC) tambahan atau laptop bagi kegunaan dalam bilik selain menyediakan konsep mudah dan cepat untuk sambungan ke web.

Ia tidak dilengkapi pemacu keras, hanya flash memory terbina 128 Mb serta slot kad memori.

Nokia menegaskan produk itu bukan bertujuan untuk menyaingi iPod Apple Computer Inc (Apple) atau pemain muzik MP3.

Awal tahun depan beberapa ciri akan disediakan seperti suara melalui telefoni internet (VoIP) dan mesej pendek apabila usaha peningkatan perisian dilaksanakan.

Memandangkan ia dicipta untuk dibawa dari bilik ke bilik, skrin 4.1 inci itu dianggap kecil berbanding kebanyakan paparan perkakasan lain tetapi dilihat lebih besar dan tajam berbanding kebanyakan telefon bimbit dan komputer telapak.

Beratnya hanya setengah paun menggunakan browser Opera dan tidak disediakan papan kekunci untuk menaip sebagaimana pada Treo dan BlackBerry tetapi disediakan bersama papan kekunci maya pada skrin.

Internet Tablet ini dicipta khusus untuk penggunaan di rumah dan melalui pemancar WiFi, ia juga boleh dihubungkan dengan hotspot awam atau komersial.

Juga disediakan port USB untuk sambungan ke PC selain pemancar Bluetooth yang boleh digunakan untuk sambungan ke telefon bimbit yang mempunyai akses online selular.

No comments: