Saturday, May 28, 2005

Yala sudah x selamat lagi...

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 12,000 penduduk di Yala, salah sebuah daripada empat wilayah Selatan Thailand bertindak meninggalkan kawasan itu dalam tempoh enam bulan lalu – perpindahan terbesar pernah dicatatkan atas alasan kekacauan yang meletus di kawasan berkenaan.

Wilayah berkenaan sebelum ini dikenal pasti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai aman dan tenteram, kata Datuk Bandar Yala, Pongsak Yingchoncharoen.

Ketika mendedahkannya semalam, Pongsak berkata, antara alasan utama diberikan penduduk terbabit adalah ancaman keselamatan dan harta benda mereka di Yala, salah sebuah bandar yang paling digemari kerana kecantikan alam semula jadinya.

“Kita tidak pernah berdepan perpindahan besar-besaran sepertinya. Ini disebabkan Yala sendiri adalah bandar yang dikenali dan disukai kerana udaranya yang bersih dan banyak taman yang sesuai untuk kegiatan riadah.

“Oleh itu, tiada faktor lain kecuali ketegangan yang berlaku sekarang,” katanya dalam temu bual dengan agensi berita Agence France-Presse (AFP).

Lebih 670 orang terbunuh dalam beberapa kejadian sejak Januari 2004 yang dipersalahkan ke atas anggota pemisah di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam selain bersempadankan Malaysia.

Serangan hampir setiap hari berlaku di kawasan itu termasuk tembak menembak, pengeboman, kejadian bunuh dan membakar harta benda awam yang membabitkan kakitangan kerajaan, sami Buddha dan orang awam.

Menurut datuk bandar itu, tindakan pemindahan beramai-ramai itu jelas memberi kesan negatif ke atas Yala yang pernah mendapat pengiktirafan dalam bentuk anugerah oleh agensi PBB, Unesco pada 2002-2003 sebagai bandar keamanan.

Pongsak berkata, maklumat yang ada padanya menunjukkan wilayah Yala kekurangan 12,000 penduduk pada Mei lalu berbanding awal tahun lalu. – AFP

Statistik Kementerian Dalam Negeri yang berasingan pula menunjukkan pada akhir 2004, seramai 11,609 orang lagi penduduk berhijrah keluar berbanding masuk ke empat wilayah Selatan berkenaan.

“Saya difahamkan yang ramai golongan berada di Haadyai mahu menjual rumah mereka selepas tiga letupan bom bulan lalu,” katanya merujuk kepada serangan bom di wilayah Songkhla, salah satu daripada empat kawasan utama di Selatan selain Pattani, Narathiwat dan Yala.

Pongsak menggesa kerajaan mengadakan langkah seperti melonggarkan peraturan cukai bagi membantu golongan usahawan di Yala, Narathiwat, Pattani dan Songkhla berkenaan.–AFP

No comments: