Saturday, June 11, 2005

Cara pemanduan jimatkan petrol

APABILA dijemput menyertai Cabaran Lebih Nilai Media Shell (3-5 Mei) yang dilancarkan sempena kempen Skimming Stone dengan cogan kata ‘Lebih Kilometer Dengan Petrol Shell’, barulah penulis diuji untuk memandu dengan cara yang boleh menjimatkan minyak.

Lebih Kilometer dengan Petrol Shell diperkenalkan pada 2003 dan berdasarkan kajian pada 2004, sembilan daripada 10 pemandu yang menggunakan petrol Shell ketika ditemubual mengaku mereka mendapat lebih kilometer.


TANGKI kereta peserta ditutup dengan pelekat sepanjang tempoh Cabaran Lebih Nilai Media Shell selama tiga hari.

Sebelum cabaran bermula, peserta diberikan baucar RM50 untuk mengisi tangki kereta masing-masing dengan minyak Shell. Pada hari yang dinanti-nantikan pada 3 Mei, semua kereta peserta berkumpul di stesen minyak Shell yang terletak di antara Plaza Tol Subang dan Damansara Lebih Raya Lembah Klang Utara (NKVE).

Oleh kerana penulis sudah mengisi minyak Shell pada petang 30 April dan hingga 3 Mei tidak begitu banyak bergerak, maka di stesen minyak ini, tidak banyak minyak boleh diisi.

Penutup tangki kemudian ditampal dengan pelekat untuk memastikan hanya minyak dalam tangki kereta itu digunakan dan tidak ditambah.

Selepas Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading, Mohzani Wahab, melepaskan kereta peserta, maka bermulalah cabaran saya.

Bagaimanapun, keadaan kerja tidak mengizinkan saya untuk menggunakan sepenuhnya minyak yang diisi ke dalam tangki. Ini kerana kerja lebih banyak dihabiskan masa di pejabat.

Maka berulanglah kereta antara rumah ke pejabat di Jalan Riong, Bangsar, sejauh kira-kira 36 kilometer atau 72 kilometer pergi dan balik. Dalam tempoh tiga hari itu, hanya sekali destinasi melencong, iaitu ke Kota Damansara.

Apabila tiba hari penamat, meter perbatuan di kereta mencatatkan sebanyak 216 kilometer. Dengan 12.92 liter yang digunakan sejauh itu, bermakna setiap satu liter membawa kereta penulis sejauh 16.7 kilometer.

Saya tidak tahu prestasi kereta lain. Mungkin ada yang lebih baik atau lebih teruk. Apa yang saya tahu semua peserta telah mencatatkan perbatuan sebanyak 1,760 kilometer.

Melalui program itu, setiap kilometer yang dicatatkan dalam pemanduan peserta bernilai RM4 dan akan disumbangkan kepada rumah amal. Berdasarkan keseluruhan perbatuan yang dicatatkan oleh peserta, maka jumlah derma yang dikumpulkan adalah sebanyak RM7,040. Bagaimanapun, Shell menambah jumlah derma itu hingga kepada RM20,000.

Berbalik kepada cerita rakan saya merungut sebelum ini, mungkin ada baiknya saya memberitahunya beberapa petua yang dipraktikkan sepanjang tempoh cabaran itu untuk menjimatkan penggunaan petrol, iaitu:

  • Memandu dengan tenang – Jangan gopoh dan membuat sesuatu secara mengejut.

  • Berat – Jangan bawa barang yang tidak perlu (kereta anda bukan stor). Penambahan berat sebanyak 50 kilogram meningkatkan penggunaan minyak sebanyak dua peratus).

  • Tayar – Tekanan angin mesti betul. Jika tidak, penggunaan minyak bertambah lima peratus.

  • Penyelenggaraan – Penalaan enjin yang teruk meningkatkan penggunaan minyak hingga lebih 50 peratus. Jangan malas pastikan palam pencucuh, tali kipas dan penapis udara diperiksa secara berkala.

  • Kelajuan – Lebih perlahan anda memandu, lebih jimat minyak digunakan (dan tidak disaman). Memandu melebihi 90 kilometer sejam (km/j) meningkatkan dengan ketara penggunaan minyak. Secara perbandingan, pada kelajuan 100 km/j, penggunaan minyak bertambah 10 peratus, 105 km/j (15 peratus) dan 110 km/j (25 peratus).

  • Jika kereta tidak bergerak, matikan enjin jika sekadar menunggu seseorang.

  • Penggunaan gear – Pilih gear yang sesuai dengan kelajuan. Menggunakan gear rendah untuk kelajuan tinggi menyebabkan pembaziran minyak kerana enjin menjadi lebih pantas. Jangan malu-malu menggunakan mod ‘ekonomi’ jika kereta anda memilikinya.

  • Brek – Jika anda sudah tahu di mana hendak berhenti, perlahankan kenderaan secara beransur-ansur. Jangan brek mengejut.

  • Perancangan – Rancang perjalanan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Ini menjimatkan masa, wang dan mengelakkan tekanan.

  • Minimum – Kurangkan perjalanan jarak dekat kerana ini meningkatkan penggunaan minyak sebanyak 40 peratus.

    Kalau kawan saya membaca petua ini, cuba-cubalah mengamalkannya. Begitu juga dengan pembaca. Memang nanti akan ada orang kata ‘cakap bolehlah’. Bagaimanapun terpulanglah, tepuk dada tanya selera.

    Jika anda hendak menjimatkan penggunaan minyak, cubalah dulu petua ini. Saya sudah mencuba, memang susah, tetapi apabila pemanduan berhemah dijadikan tabiat, hasilnya berbaloi!
  • No comments: