Wednesday, June 08, 2005

Masalah dadah di Malaysia tak sama dengan negara lain

IA mungkin berkesan di sesetengah negara namun dasar memberi jarum dan kondom percuma kepada penagih dadah yang juga menghidap Aids/HIV perlu didebatkan seluas-luasnya sebelum dilaksanakan.

Kementerian Kesihatan tidak patut bertindak bijak sendirian apatah lagi jika rancangan itu menelan belanja berjuta-juta ringgit menggunakan wang rakyat. Lebih baik wang ini diperuntukkan untuk kempen mencegah kegemukan dan kencing manis.

Satu contoh pembaziran wang yang sudah ternyata ialah RM20 juta setahun bagi kempen ‘Tak Nak’ bertujuan menggalakkan rakyat berhenti merokok. Dengarnya kerajaan akan membelanjakan RM100 juta untuk kempen ini.

Harga rokok amat mahal sekarang kerana cukai dinaikkan iaitu RM6.50 bagi kotak 20 batang. Ia sama dengan sarapan roti canai atau nasi lemak bagi suami isteri anak dua.

Sekarang syarikat rokok bersaingan memberikan diskaun harga rokok iaitu RM12 bagi dua kotak 20 batang.

Tetapi hasil kempen itu amat mengecewakan kerana remaja atau pelajar sekolah pun boleh dilihat merokok di luar kawasan sekolah.

Memandangkan kegagalan kempen itu, rancangan memberi percuma jarum dan kondom mesti dikaji dengan lebih teliti lagi.

Kalau di Iran kempen itu dikatakan berjaya mungkin disebabkan faktor demografi ditambah pula dengan tindakan keras terhadap ‘raja’ pengedar dadah.

Di Malaysia ‘raja dadah’ (seperti raja cetak rompak VCD) jarang kena tangkap dan dihukum gantung. Selalunya mereka ini orang bukan Islam. Yang kena ialah ‘ikan bilis’ iaitu penagih dan pengedar kecil.

Semua orang tahu perniagaan dadah, VCD dan jual beli wanita untuk pelacuran adalah perniagaan global bernilai berbilion-bilion ringgit yang dijalankan oleh sindiket besar yang mempunyai rangkaian antarabangsa.

Bekalan dadah di Iran datang dari dalam negeri sendiri bukan dari kawasan Segi Tiga Emas iaitu kawasan di sempadan Thailand, Laos dan China.

Masalah penagihan dadah di Malaysia ialah masalah Melayu. Sedihnya yang menderita orang Melayu tetapi yang kaya raya dengan perniagaan ini bukan Melayu. Maknanya undang-undang dan penguatkuasaannya tidak berkesan.

Sekali sekala ditunjukkan di rancangan 999 beberapa kejayaan besar dicapai tetapi masalah dadah masih mengancam belia kita.

Jadi apa hendak dibuat dengan masalah yang sudah sedia di depan mata kita iaitu mengenai ribuan penagih yang menghidapi Aids/HIV.

Ramai pihak seperti Pemadam dan Mufti Perak mencadangkan mereka ini diasingkan untuk diberikan rawatan sama ada secara perubatan biasa homeopati dan sebagainya.

Saya hairan kenapa hak seks golongan ini masih dipedulikan walhal orang kuat merokok sendiri boleh merosakkan penghidupan isteri dan anak mereka. Mereka yang menghidap Aids/HIV tidak ada hak berkahwin atau hak seks lagi.

Saya yakin tidak ada wanita yang ingin mengadakan hubungan jenis dengan golongan berpenyakit ini walaupun menggunakan kondom yang dikatakan kalis segala-galanya.

Kita semua tahu tidak ada kondom yang 100 peratus berkesan, sebab itulah Kristian Katolik turut tidak merestui kondom.

Jadi, jika pemberian kondom dan jarum suntikan percuma dilaksanakan maka bersoraklah sindiket dadah kerana sedikit sebanyak kita sudah menerima bahawa masalah dadah samalah dengan ketagihan merokok hingga gagalnya kempen ‘Tak Nak’.

No comments: