Wednesday, June 08, 2005

‘Tiger’

APPLE mula memperkenalkan sistem operasi Mac OS X versi 10.4 yang juga dikenali sebagai Tiger ke pasaran tempatan yang didakwa lebih bertenaga dan memudahkan dengan lebih 200 ciri baru.

Ia juga dilengkapi beberapa inovasi baru termasuk Spotlight iaitu revolusi baru teknologi enjin pencari yang membolehkan pengguna mendapatkan segera sebarang data di dalam komputer Mac termasuk dokumen, e-mel, buku alamat dan imej.

Pengarah Pemasaran Produk, Apple Asia Pacific, Tony Li, berkata enjin pencari itu bukanlah dari jenis perisian aplikasi yang dipasang ke dalam Mac, tapi ciri yang dijana daripada OS itu sendiri. Ini bermakna ia adalah enjin pencari di dalam sistem.

“Pada setiap kali komputer Mac anda dipasang ikon enjin pencari di bahagian atas sebelah kanan paparan dan pengguna hanya perlu masukkan nama fail atau salah satu perkataan yang ada kaitan dengan fail yang dicari. Hasilnya akan dipaparkan pada satu tetingkap baru dan sekiranya pengguna tidak pasti dengan fail yang mana satu, lalukan saja petunjuk tetikus ke salah satu fail terbabit dan kandungan ringkasnya akan dipaparkan.”

“Satu lagi inovasi ialah Dashboard yang menjadi cara baru mencapai maklumat penting dengan segera seperti ramalan cuaca, sebutan pasaran saham, jam dunia, jadual penerbangan, kadar tukaran wang dan sebagainya menggunakan aplikasi yang dikenali widgets,” katanya.

Setakat ini ada lebih 63 widgets disediakan dan ia hasil kerjasama Apple dengan beberapa penyedia perkhidmatan aplikasi. Ada antara maklumat widgets memerlukan capaian internet dan ada yang hanya menggunakan pengiraan matematikal saja.

Tony berkata, Tiger yang dijual pada harga RM499 memperbaiki keserasian dengan Windows untuk memudahkan pengguna Mac OS X mencapai direktori berasaskan Windows dan mudah dikenali oleh Active Directory Microsoft.

No comments: