Friday, June 03, 2005

Pantai Irama mesra menyambut pengunjung

PASIR yang memutih dan pantainya yang landai menjadikan Pantai Irama, Bachok antara kawasan peranginan dan perkelahan tepi laut yang tercantik di Kelantan.

Pantai yang bebas daripada ancaman hakisan dan ombak besar, berbeza dengan Pantai Cahaya Bulan (PCB) dan Pantai Sabak serta Pantai Seri Tujuh yang sudah kehilangan daya tarikan kesan hakisan berterusan.

Pantai yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Kota Bharu itu menjadi tumpuan pengunjung terutama sebelah petang pada hujung minggu kerana keindahan pemandangan dan air laut yang jernih.

Sebelah petang menjadi pilihan pengunjung kerana kawasan pantai itu teduh dan redup berikutan pohon ru yang memenuhi kawasan sekitar pantainya.

Di pantai itu, anak-anak boleh bermain layang-layang atau mandi laut tanpa mengundang rasa bimbang ibu bapa kerana keadaan pantainya yang landai.

Sesekali motosikal penjual sate ikan atau ais krim turut melewati sambil menawarkan jualan masing-masing. Beberapa gerai menjual colek makanan laut turut berada tidak jauh dari pantai.

Kehadiran pelancong tempatan dan luar secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi penduduk setempat yang menjalankan pelbagai perniagaan kecil sepanjang perjalanan dari Kota Bharu ke Pantai Irama.

Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok (MDB), Mohd Faudzi Che Mamat, berkata Pantai Irama yang berkeluasan kira-kira 4 hektar turut mempunyai dua chalet sebagai kemudahan kepada pengunjungnya.

"Pantai Irama Motel mempunyai 18 bilik, manakala Irama Inn mempunyai 33 bilik termasuk dorm. Selain itu, deretan gerai makan yang menyediakan pelbagai masakan tempatan dan makanan laut serta sebuah masjid berdekatan mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu masa.

"Selain itu, kawasan pantai Irama juga dilengkapi kemudahan tandas, surau, pondok rehat serta taman permainan yang menjadi pilihan kanak-kanak selepas puas bermain di pantai," katanya.

Beliau berkata, usaha membangunkan Pantai Irama sebagai tarikan pelancong dilakukan secara berterusan mengikut kemampuan MDB yang turut mendapat kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Difahamkan usaha juga dilakukan untuk mendapatkan sumber kewangan daripada Kementerian Pelancongan dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) untuk membangunkan kawasan Pantai Irama Bachok.

Setakat ini, Kementerian Pelancongan meluluskan peruntukan kira-kira RM130,000 kepada MDB dan sebahagian daripadanya digunakan untuk membina pagar dan gerai perniagaan di sekitar pantai.

Berikutan keindahannya, Pantai Irama bakal menjadi lokasi pertandingan GP Joran 2005 anjuran Unit Joran Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) pada 18 dan 19 Jun ini.

Program anjuran BHSB dengan kerjasama Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Bachok, Datuk Dr Awang Adek Husin; Lembaga kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan turut disokong MDB.

No comments: