Wednesday, June 01, 2005

Produk Baru: Motorola miliki pelbagai produk Bluetooth


RUMUSAN lengkap Bluetooth kereta terdiri daripada telefon
bimbit dan set alat dengar telinga, pembesar
suara dan kit kereta.


MOTOROLA meluaskan portfolio set produk Bluetoothnya ke pasaran Malaysia dengan reka bentuk khusus untuk kebebasan, mudah digunakan dan capaian tanpa sempadan.

Portfolio rumusan Bluetooth itu membuktikan penerajuan Motorola dalam pasaran Bluetooth (41 peratus pasaran dunia) menerusi penyediaan pelbagai teknologi bebas tangan dengan harga berpatutan dan mampu dimiliki.

Pengarah Kawasan, PCS Malaysia dan Brunei, Motorola, Eric Chong, berkata kajian oleh GFK pada Mac lepas menunjukkan bahawa 25 peratus daripada keseluruhan telefon bimbit yang dijual di Malaysia memiliki teknologi Bluetooth.



PENUNGGANG motosikal kini
boleh mendapatkan topi keledar
lengkap dengan set telinga
Bluetooth.









“Peratusan itu terus meningkat dengan pesat dan pastinya akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pasaran produk Bluetooth Motorola di sini, terutamanya dengan rangkaian telekomunikasi 3G sudah mula menembusi pasaran Malaysia.”

“Dengan 3G, teknologi dan peranti Bluetooth akan menyokong keperluan menerima dan memindah maklumat pada kelajuan tinggi dalam suasana mobiliti sepenuhnya. Pelanggan sudah maklum faedah Bluetooth yang menjadikan komunikasi itu lebih mudah dan selesa tanpa gangguan wayar,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Eric, kebanyakan pengguna hari ini hanya mengenali Bluetooth sebagai peranti set pembesar suara yang melekap di telinga, sedangkan ia sebenarnya lebih daripada itu dan Motorola memiliki semuanya.

Komitmen Motorola terhadap kualiti, berserta keutuhan bahagian penyelidikan dan pembangunannya, menjadikan ia satu-satunya syarikat yang mengkhususkan kepada sektor Bluetooth yang dikaitkan dengan industri automotif, telekomunikasi dan perkomputeran.

Bluetooth digunakan untuk menghubungkan pelbagai kelengkapan perkomputeran seperti komputer notebook, telefon bimbit, papan kekunci, pencetak, kamera digital, komputer telapak, kereta dan sebagainya.

Speakerphone Bluetooth membolehkan pengguna terus berbual di telefon sebaik mereka keluar dari kereta hingga ke dalam rumah tanpa gangguan. Manakala rumusan lengkap Bluetooth kereta terdiri dari telefon bimbit dan set alat dengar telinga, pembesar suara dan kit kereta.

Ahli sukan atau penggemar sukan lasak boleh menikmati inovasi cermin mata RazrWire, rekaan bersama Oakley untuk menyediakan hubungan bebas tangan ketika bersukan. Penunggang motosikal juga kini boleh mendapatkan topi keledar lengkap dengan set telinga Bluetooth.

No comments: