Monday, June 06, 2005

Virus, salah guna internet masalah utama keselamatan

SERANGAN virus komputer (85 peratus), penyalahgunaan capaian internet (79 peratus) dan pencerobohan laman web (64 peratus) adalah masalah keselamatan kepada sistem rangkaian komputer yang dikenal pasti sebagai masalah utama keselamatan sistem rangkaian komputer.

Naib Presiden Majlis Antarabangsa Perunding Perdagangan Elektronik (EC-Council), Jay Bavisi, berkata keselamatan komputer amat penting kepada semua pihak kerana komputer kini tidak lagi boleh dipisahkan daripada kehidupan.

Sehubungan itu, katanya, pendidikan mengenai keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah amat penting supaya individu dalam organisasi akan sedar dan faham dengan baik bagaimana melindungi semua maklumat atau data daripada diceroboh.

“Ini kerana alat penceroboh sistem rangkaian komputer kini semakin canggih dan kuat daripada segi kecekapan, peredaran, kerahsiaan, automasi dan keserasian pengguna dan alat itu dengan mudah dimuat turun daripada internet,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada seminar “Perang Siber: Jalan Ke Hadapan - Strategi Pertahanan Baru anjuran Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP).

Beliau berkata, kelemahan keselamatan hos boleh dikenal pasti dengan alat pengimbas kerana keselamatan mana-mana rangkaian di dalam internet bergantung kepada keselamatan setiap rangkaian lain, jadi tiada rangkaian yang benar-benar selamat.

“Penceroboh sistem rangkaian komputer boleh merosakkan sistem kuasa dan mengganggu bekalan kuasa; mengeluarkan perkhidmatan darurat; berpotensi memasuki komputer pasaran saham dan merosakkan datanya; dan berpotensi sebenarnya merosakkan sistem kawalan trafik udara,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Bangsa-bangsa Bersatu, Richard Leete, merangkap wakil UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei, berkata seminar itu bertujuan supaya orang ramai memahami mengenai keselamatan IT.

“Semua organisasi perlu dilengkapkan dengan keselamatan ICT bagi mengelakkan pencerobohan sistem rangkaian komputer. Pejabat di Malaysia tidak harus mengurangkan kepentingan langkah sekatan melindungi pertubuhan mereka dengan keselamatan IT kerana jika sesuatu pertubuhan diserang, ia akan menjadi masalah besar,” katanya.

Leete berkata, UNDP mempunyai banyak projek dan program untuk mendidik orang ramai berhubung keselamatan komputer.

No comments: