Saturday, December 30, 2006

Hidup boleh diteruskan tanpa Internet

PADA hari ulang tahun kedua bencana tsunami 2004, berlaku gempa bumi di Taiwan yang mengakibatkan tsunami kecil. Jauh lebih kecil daripada tsunami 2004 dan tidak mengorbankan manusia.

Bagaimanapun, kali ini ada perkara lain yang terkorban. Iaitu keyakinan terhadap keutuhan Internet.

Gempa bumi itu telah mengganggu perkhidmatan Internet di rantau ini kerana kabel laluannya terjejas. Maka tsunami 2006 ini menimbulkan kelam-kabut kepada 11 juta pengguna Internet di Malaysia. Kabel gentian optik yang rosak ini mengakibatkan menuntut langkah-langkah baru untuk penyediaan laluan alternatif supaya gangguan terhadap perkhidmatan Internet seumpama itu berlaku.

Tuntutan ini sudah tentu dirasakan perlu dipenuhi, maka projek untuk ini pasti dibuat, dan ada pihak yang mengaut keuntungan. Ada pihak lain pula yang perlu berbelanja.

Internet seperti kemudahan teknologi lain mempunyai sifat yang mendorong kepada perbelanjaan lebih besar bagi pemeliharaannya. Untuk menyatakan bahawa teknologi akan menjimatkan kos adalah suatu mitos. Ini kerana kos bagi sesuatu alat teknologi tidak akan terhenti, tetapi sebaliknya berterusan tanpa kesudahan.

Pada satu masa dahulu Internet bukannya suatu keperluan. Kini ia sudah mula menjadi kemestian. Bagi mereka yang sudah menjadi pengguna tetap, Internet adalah keperluan. Apabila ia merupakan satu keperluan, sudah tentu segala usaha dilakukan bagi memastikan penyenggaraannya dilakukan dengan lengkap.

Sedangkan asalnya Internet itu tidak ada. Selama ini pun manusia boleh hidup tanpa Internet. Hendak berurusan dengan bank, pergi saja ke kaunter. Tetapi oleh kerana adanya Internet, maka banyak urusan bank menggunakan Internet. Sekiranya Internet bermasalah, maka akan dirasakan sukar untuk berurusan.

Ini kerana dalam zaman Internet, cawangan bank pun sudah tidak banyak. Oleh kerana banyak operasi sudah berpindah ke dalam talian, maka bank sudah tidak banyak membina cawangan dan kaunter.

Internet dilihat telah memudahkan urus niaga dengan bank. Dikatakan bahawa kini tidak perlu bersesak untuk beratur di depan kaunter dan mencari tempat letak kereta.

Tetapi Internet menuntut kos lain. Selain daripada berurusan dengan Streamyx dan TMNet yang bertindak seperti monopoli, seseorang perlu memiliki komputer.

Apabila sudah ada komputer, ia tidak terhenti di situ. Pastinya komputer itu memerlukan penyenggaraan dan kerana ia ada, pasti ia digunakan untuk perkara lain, dan ini terus meningkatkan kos.

Di pejabat juga, Internet sudah menjadi keperluan. Ia bukan saja menuntut adanya komputer tetapi keseluruhan rangkaian hingga kepada server.

Cuba bayangkan betapa banyaknya kos untuk perkara-perkara ini. Maka diperlukan pula pakar dan jabatan untuk menguruskan komputer dan Internet. Perbelanjaan tidak terhenti di mana-mana pun, malahan berterusan tanpa penghujungnya.

Apabila masyarakat sudah keseluruhannya menggunakan Internet, seseorang individu tidak boleh melepaskan diri daripadanya. Internet sudah menguasai kehidupan manusia.

Ia tidak boleh lagi dielakkan. Apabila ada anak, pastinya mereka mahu menggunakan komputer, Internet dan permainan. Maka ibu bapa perlu berusaha lebih lagi supaya memperoleh pendapatan bagi memenuhi keperluan anak-anak meliputi kemudahan Internet.

Tetapi adakah Internet benar-benar tidak boleh dielakkan?

Sewajarnya apabila berlaku gangguan perkhidmatan Internet, ia berupa peluang bagi seseorang untuk berhenti sejenak dan menikmati hidup tanpa alat teknologi itu.

Kalau seseorang itu sudah lama membaca akhbar melalui Internet, cubalah ketika berlaku gangguan seperti itu, pergilah berehat sebentar daripada menghadap komputer dan pergi membaca akhbar yang dicetak atas kertas.

Atau berhenti sejenak daripada menulis atau membaca blog, dan sebaliknya ajak kawan-kawan berjumpa di kedai-kedai makan untuk bersembang.

Atau kali ini cuba membayar bil secara langsung di pejabat pos. Jumpalah manusia-manusia lain dan nikmatilah kehadiran orang ramai daripada terperosok dalam bilik dan menghadap komputer semata-mata.

Internet memudah dan mencepatkan kerja. Tetapi untuk apakah segala kelajuan dan kemajuan itu kalau ia hanya menyesakkan hidup?

Internet adalah alat bagi memudahkan hidup. Janganlah manusia yang terlalu terikat dan mengikut rentak Internet hingga berasa tekanan besar apabila berlaku gangguan perkhidmatan.

No comments: