Sunday, December 31, 2006

Taiwan tiada rancangan pasang banyak kabel

TAIPEI 29 Dis. – Syarikat telekomunikasi terbesar Taiwan, Chunghwa Telecom Co. (Chunghwa) hari ini menegaskan, ia tidak berhasrat untuk memasang lebih banyak kabel sokongan dasar laut kerana gempa bumi yang memusnahkan kabel-kabel berkenaan, amat jarang berlaku.

Pegawai kanan Chunghwa, Wu Chih-ming berkata, kerosakan teruk melibatkan dua kabel utama dan dua kabel sokongan akibat gempa bumi tiga hari lalu, tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Oleh itu, kami tidak akan memasang lebih banyak kabel sokongan buat masa ini kerana insiden seperti itu mungkin hanya akan berlaku 100 tahun lagi,’’ kata Chih-ming.

Beliau merujuk kepada gempa bumi kuat yang melanda selatan Taiwan dan menjejaskan perkhidmatan internet dan telefon di rantau Asia.

Bagaimanapun, syarikat-syarikat telekomunikasi utama di Asia hari ini berkata, sebahagian besar perkhidmatan telah dipulihkan apabila satelit dan kabel-kabel yang tidak musnah dalam kejadian itu berfungsi sepenuhnya.

Beratus-ratus kabel optik bawah tanah dipasang di dasar laut untuk membawa data-data Internet dan panggilan telefon.

Talian-talian kabel itu biasanya dimiliki bersama oleh syarikat-syarikat telekomunikasi gergasi yang berkongsi kos dan keupayaan perkhidmatan.

Menurut Chih-ming, Chunghwa telah menghantar empat kapal untuk membaiki kerosakan kabel-kabel berkenaan dan dijangka tiba di lokasi pada Selasa ini.

“Kerja-kerja membaiki kabel itu dianggarkan menelan belanja sekitar RM6 juta (NT$50 juta) dan akan siap dalam tempoh tiga minggu,’’ kata beliau.

– AP

No comments: