Wednesday, May 25, 2005

AC Milan puas harungi jatuh bangun

ISTANBUL - Dianggap sebagai salah satu kuasa besar dalam bola sepak, AC Milan akan beraksi pada perlawanan akhir ke-10 Piala Eropah di sini, esok menentang pasukan Liga Perdana England, Liverpool.

Namun kelab gergasi Itali, yang sudah enam kali menjulang kejuaraan Eropah dan 17 kali muncul juara liga tempatan jarang muncul sebagai kuasa besar di Eropah.

Pada penghujung musim 1979/80, mereka tersingkir dari saingan Serie A walaupun menamatkan kedudukan di tangga ketiga liga akibat pengurusan kewangan yang tidak teratur.

Ketika Liverpool menyapu bersih kejuaraan dengan menjulang trofi kejohanan Eropah pada 1981, Milan beraksi dalam divisyen dua liga Itali.

Milan dinaikkan ke Serie A pada musim berikutnya tetapi terpaksa diturunkan apabila hanya memenangi tujuh perlawanan sahaja.

Kelab itu bangkit lagi dan pada musim 1983/84 mereka menamatkan saingan liga di tangga kelapan.

Bagaimanapun prestasi mereka yang tidak konsisten di padang selain kegagalan ahli lembaga pengarah kelab mengendalikan pengurusan kewangan dengan baik menyaksikan Milan muflis.

Ketika itu, muncul Silvio Berlusconi, seorang jutawan media yang kini Perdana Menteri Itali yang tidak sanggup melihat pasukan yang disokongnya tersungkur dan pada tahun 1986 beliau membuat keputusan untuk membeli kelab berkenaan.

Perkara pertama yang dilakukan Berlusconi ialah melabur secara besar-besaran dalam sistem pemain remaja kelab sebelum memodenkan padang latihan di Milanel yang kemudian dicemburui oleh kelab-kelab besar Eropah.

Berlusconi kemudian memperjudikan nasib dengan mengambil jurulatih berinovasi, Arrigo Sacchi yang memiliki idea corak permainan menyerang.

Sacchi diberi peruntukkan kewangan yang besar dan mengambil pemain yang kurang dikenali ketika itu iaitu trio Belanda, Marco van Basten Ruud Gullit dan Frank Rijkaard, yang mana tidak lama kemudian mereka menjadi legenda AC Milan.

Mereka menjadi tulang belakang pasukan dan bersama-sama dengan pemain Milan yang lain seperti Franco Baresi, Mauro Tassotti dan Paolo Maldini, Milan tidak mampu disekat.

Mereka menewaskan Napoli untuk menjulang kejuaraan Serie A pada 1988 dan pada tahun berikutnya mereka membelasah Steaua Bucharest 4-0 pada perlawanan akhir Piala Eropah selepas menyingkirkan Real Madrid di separuh akhir.

Penguasaan Milan di Eropah berterusan pada tahun berikutnya.

Mereka menewaskan Benfica 1-0 pada final 1990 sebelum Sacchi meletakan jawatan untuk menerima tawaran melatih pasukan kebangsaan.

Berlusconi kemudian mendapatkan khidmat Fabio Capello dan pada musim 1991/92 mereka menjulang kejuaraan Serie A tanpa kalah satu perlawanan dan menjaringkan 74 gol, lebih 29 gol berbanding pasukan di tangga kedua, Juventus.

Saat terbaik Capello menjelma pada 1994 apabila Milan menewaskan pasukan bimbingan Johan Cruyff, pada final 1994 di Athens. - AFP

No comments: