Wednesday, May 25, 2005

Malaysia `borong' anugerah terbaik -- Penganjur Bot Laju Dunia

KUALA LUMPUR - Bunyinya agak pelik! Tetapi itulah masalah yang sedang dihadapi penganjur bot laju du-nia di negara ini, H2O Sports Sdn. Bhd.

Yang menghairankan, Ahad lalu Malaysia sekali lagi dipilih Kesatuan Motonautique Antarabangsa (UIM) sebagai penganjur terbaik bot laju dunia buat tahun keempat berturut-turut.

Bagaimanapun dalam gembira dibuai reputasi sehebat itu, tidak siapa menyangka Malaysia sebenarnya masih belum mempunyai venue tetap untuk menganjurkan perlumbaan bot laju dunia di negara ini.

Sejak terpilih menganjurkan perlumbaan itu pada 2001, H2O terpaksa berpindah randah sebanyak tiga kali kerana tidak mempunyai venue tetap seperti perlumbaan kereta Formula Satu di Sepang.

Pada 2001, perlumbaan diadakan di Tanjung Puteri, Johor kemudian dipindahkan ke Tasik Mines, Seri Kembangan pada 2002 dan 2003.

Tahun lalu, ia berpindah lagi ke Tasik Putrajaya di Presint 8. Persoalannya, kena pindah ke mana pula selepas ini?

Kecewa kerana `ditendang seperti bola', H2O Sports semalam tampil merayu kepada kerajaan untuk menyediakan satu venue tetap bagi perlumbaan bot laju ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Yahya A. Jalil berkata, satu venue tetap penting kerana di situ ia akan menjadi pusat pembangunan dan pertandingan sukan bot laju di negara ini.

``Dari segi menganjurkannya, satu venue tetap dapat menjimatkan kos di samping memudahkan kita menaiktaraf kemudahan yang ada dari semasa ke semasa,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pe-ngumuman Malaysia sebagai penganjur terbaik bot laju dunia buat kali keempat di sini, se-malam.

Pemilihan Malaysia itu dibuat pada majlis makan malam dan anugerah UIM di Club Naval de Portimao, Portugal pada 21 Mei lalu.

Pengarah H2O Sports, Abu Bakar Kassim mewakili Malaysia menerima anugerah yang tidak disangka-sangka itu daripada promoter bot laju dunia, Nicolo Di San Germano.

``Kita memang tidak menyangka langsung akan menang kerana selain tidak punya venue tetap, Arab Saudi, China dan UAE dilihat lebih hebat menganjurkannya.

``Cuma kelebihan kita ialah kelancaran, keindahan Tasik Putrajaya serta usaha inovatif mengadakan acara sampingan seperti karnival, kehadiran penonton, persembahan dan kemudahan yang disediakan,'' tegas Jalil.

Menerusi kejayaan itu beliau percaya, hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mempromosi Putrajaya sebagai destinasi sukan air dunia sudah tercapai.

No comments: